Assalamualaikum dan salam sejahtera
1st Entry untuk blog ni..
34 tahun, 1 jangka masa yang sangat lama untuk sesebuah kehidupan didunia. Selama 34 tahun Sudut Pidato atau lebih dikenali sebagai Speaker’s Corner (SC) telah diharamkan penggunaan dan kewujudannya oleh kewujudan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Sebelumnya, Speaker’s Corner yang pertama telah diwujudkan pada 27 Mei 1966, atas inisiatif seorang pelajar sejarah Tahun 2 Universiti Malaya, Ravee Raghavan. Inisiatif ini timbul melalui desakan semasa yang memerlukan suatu medan bagi membincangkan isu-isu politik dan sebagainya di kalangan mahasiswa. Speaker’s Corner atau lebih dikenali sebagai sudut pidato ini secara konsisten diadakan pada setiap hari sabtu pada jam 10 pagi, di kawasan terbuka di hadapan pintu utama perpustakaan Universiti Malaya pada ketika itu. Pada tahun berikutnya, sudut ini berkembang dengan wujudnya pentas rasmi, yang dibina oleh mahasiswa hasil kutipan wang secara kolektif di kalangan mahasiswa sebanyak RM200. Ia dilakukan 100% dari mahasiswa untuk mahasiswa. Namun akibat 'takut' dengan kelantangan suara-suara ini, SC akhirnya dilenyapkan daripada kamus mahasiswa. MAGERAN yang ditubuhkan selepas peristiwa 13 Mei yang berperanan sebagai jawatankuasa perpaduan, rupa-rupanya mempunyai hidden agenda. MAGERAN menubuhkan Panel Pelajaran pada 14 Ogos 1969 bagi mengkaji kehidupan pelajar kampus Universiti Malaya. Implikasinya, mahasiswa dihadiakan 'AUKU' oleh kerajaan dan hilanglah warisan SC sekaligus meracuni sedikt demi sedikit minda aktivis. Dan kini, gerakan mahasiswa hanya tinggal nyawa-nyawa ikan.
Menurut Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (2005), kelantangan mahasiswa era 1940an berpunca oleh tempuhan pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia II yang turut ditempuhi oleh Malaya. Kelantangan mahasiswa era 1950an pula berpunca oleh tempuhan pengalaman mereka dalam era kemerdekaan Malaya. Maka, sikap anti-kolonialisme mereka sudah tentu masih menebal dan mereka ini tentu peka dengan tindak-tanduk kerajaan baru pada waktu tersebut (Abdul Razaq Ahmad, 2005:9-11) Kelantangan mahasiswa era 1960an/1970an pula disebabkan oleh tempuhan pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar/desa oleh kebanyakkan calon mahasiswa sebelum mereka melanjutkan pengajian di Universiti. Mereka melihat tahap pendidikan anak bangsa mereka. Mereka melihat generasi muda mereka. Natijahnya, lahir/timbul kesedaran nasional dalam diri mahasiswa-mahasiswa pada waktu tersebut. (Muhammad Abu Bakar, 1972:23-24)
Apa yang cuba dirumuskan di sini adalah aksi-aksi mahasiswa dalam satu-satu zaman tersebut berpunca oleh kesedaran dan tempuhan pengalaman. Dan partisipasi mereka dalam lapangan ummat adalah suatu perjuangan nilai atau lebih tepat disebut ‘politik nilai’. Bertitik tolak pada asas ini, kerajaan telah melakukan suatu kesalahan besar ke atas mahasiswa dengan memperkenalkan AUKU. Pengenalan AUKU oleh kerajaan ini kerana kerajaan menjunjung ‘politik kekuasaan’ dan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan status quo mereka.
AUKU 1971 dipinda pada 2009 untuk membenarkan kembali kewujudan SC diperingkat universiti. Ini dilihat sebagai hadiah istimewa kepada mahasiswa untuk melontarkan idelogi mahupun mengkritik. Ya, memang benar adanya pindaan, adanya kembali sinar harapan untuk mahasiswa membentuk diri mereka menjadi “sesuatu” yang lebih baik dan hebat. Tetepi perlu ingat, adakan konsep SC yang diwujudkan suatu ketika dahulu masih sama atau tidak, adakan mahasiswa bebas untuk mengkritik, bebas untuk melontarkan ideologi-ideologi bernas?? Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berhujah dalam ucapannya mengenai SC . “Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dibenarkan mewujudkan semula sudut pidato khas (SC) bagi meningkatkan kemahiran pengucapan awam di kalangan mahasiswa. Katanya,“Kebenaran itu akan menghidupkan budaya keilmuan dan intelektual di universiti selain melahirkan mahasiswa cemerlang bukan sahaja dari segi akademik semata-mata." Namun, katanya juga,
"Sudut pidato berkenaan perlu dilakukan secara beretika, berhemah dengan persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti masing-masing, kita yakin ia tidak akan menimbulkan implikasi negatif."
Frasa “secara beretika dan berhemah” itu menjadi persoalan. Menjadi persoalan apakah HEPA dengan mudah memberikan persetujuan? Apakah definisi beretika dan berhemah? Adakah HEPA hanya memberi persetujuan jika isu yang dibahaskan hanya sekitar isu pro-kerajaan? Dan perbahasan tentang isu pro-kerajaan sahaja kah yang diangkat sebagai perbahasan beretika dan berhemah? Bebaskah mahasiswa mengkritik dan menggagaskan? Wujudkah jaminan bahawa sudut itu memberi peluang kepada mahasiswa sebagai badan check & balance dan bebas daripada pengaruh kepartian?
Bukan prejudis atau amongan kosong. Terbukti bagaimana SC yang telah sekian lama “bertapak” di Universiti Sultan Zainal Abidin hanya beberapa kali “dicuit” terutamanya ketika rapat umum menjelang PilihanRaya Kampus (PRK). Bagaimanakah UniSZA berhasrat menjadi sebuah institusi pengajian tinggi yang terulung jika berbagai karenah rigid menjadi dokma kehidupan mahasiswa disini?
Mengambil kesempatan mengeru kepada semua mahasiswa/i UniSZA, gunalah SC yang sememangnya harta yang tidak ternilai kepada kita selaku mahasiswa. Jika dulu kalian terpaksa mendaftar,memberi teks ucapan, memberi tajuk dan berbagai lagi kerenah yang “menyusahkan. Tidak lagi sekarang! Bercakaplah apa sahaja yang terlintas difikiran kalian, luahkanlah apa sahaja idea yang bernas. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara, luahkanlah. Tanpa perlu mendaftar, tanpa perlu memberikan teks dan sebagainya. Tetapi akal yang waras diberi tuhan bukan untuk dijunjung kesana kemari, diberi akal untuk kita berfikir. Elakkanlah menyentuh sensitiviti kaum, agama dan memalukan sahabat-sahabat kalian di SC.
Besar hasrat hati mahu melihat UniSZA berubah, besar hasrat hati mahu melihat mahasiswa/i nya bersama-sama memacu kegemilangan yang insyaAllah suatu hari nanti akan dikecapi. Besar rasa hati jika ianya menjadi kenyataan yang mampu mencorakkan budaya intelektual mahasiswa kearah yang lebih dinamik dan holistik. Ingatlah, ingin menuju ke sesuatu destinasi perlukan usaha untuk sampai ke destinasi tersebut. “Anak muda jika takut, usahlah merantau.” Sama-samalah kita renungkan.
Mahasiswa sebagai agen perubahan. “Jangan dicabar Mahasiswa, Jiwanya BESAR dan MEMBARA!”
“ MAHASISWA PEMANGKIN INSPIRASI BERSAMA”
--Enter & Backspace Ahmad Ilham FiQri--